Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal
atau lebih menjadi satu ayat.
Percantuman ini menyebabkan ayat majmuk itu mempunyai lebih daripada
dua predikat. Terdiri daripada sederetan ayat tunggal yang dicantumkan menjadi satu ayat
mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.
Contoh :
1.
Ahmad sedang
membuat kerja sekolah dan Ali sedang membuat ulangkaji.
a)
Ahmad sedang
membuat kerja sekolah.
b)
Ali sedang membuat ulangkaji.
2. Tina memasak sambil menyanyi.
a)
Tina memasak.
b)
Tina menyanyi.
3. Pencuri telah memasuki rumah Ah
Chong ketika penghuni rumah itu sedang tidur.
a)
Pencuri telah memasuki rumah Ah Chong.
b)
Penghuni rumah itu sedang tidur.
4. Dompet Masnah tertinggal di dalam bas yang
dinaikinya pagi tadi.
a)
Dompet Masnah
tertinggal di dalam bas.
b)
Bas dinaikinya pagi tadi.
Jenis Ayat
Majmuk
a)
Ayat majmuk gabungan
b)
Ayat majmuk pancangan
c)
Ayat majmuk campuran
a)
Ayat Majmuk
Gabungan
Ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat tunggal yang digabungkan
dengan menggunakan kata hubung dan, atau, tetapi dan sebagainya.
Contoh :
Emak sedang memasak dan adik
sedang menyanyi. (Ayat majmuk)
a)
Emak sedang memasak. (Ayat tunggal)
b)
Adik sedang menyanyi. (Ayat tunggal)
b)
Ayat Majmuk
Pancangan
Gabungan ayat-ayat tunggal yang tidak setara membentuk satu ayat baru.
Terdapat satu ayat utama atau induk dan beberapa ayat kecil lain dalam satu
ayat.
Ayat majmuk pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
i)
Ayat majmuk pancangan relatif
ii)
Ayat majmuk pancangan komplemen
iii)
Ayat majmuk pancangan keterangan
(b)
(i) Ayat
Majmuk Pancangan Relatif
Dalam majmuk jenis ini kata hubung
relatif yang, digunakan untuk
memancangkan ayat kecil/klausa kecil ke dalam ayat/klausa induk.
Contoh :
1.
Saya suka
membaca buku yang ditulis oleh Shahnon Ahmad.
a)
Ayat utama/ klausa induk – Saya suka membaca buku.
b)
Ayat kecil – Buku ditulis oleh Shahnon Ahmad.
2.
Ali membeli
baju yang berwarna merah.
a)
Ali membeli baju.
b)
Baju berwarna merah.
- Dalam ayat ini ayat/klausa kecil dipancangkan ke dalam
predikat ayat, dan bertugas sebagai objek.
3.
Perempuan yang
baru tiba itu kekasih saya.
a)
Perempuan itu baru tiba.
b)
Perempuan itu kekasih saya.
4.
Ceramah yang
disampaikan oleh orang itu sungguh menarik.
a)
Orang itu menyampaikan ceramah.
b)
Ceramah itu sungguh menarik.
- Dalam ayat 3 dan 4, ayat/klausa kecil dipancangkan ke dalam
subjek ayat.
(b) (ii) Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
Ayat yang ditandai kata hubung bahawa
dan untuk.
Terdapat satu ayat induk dan ayat kecil yang dinamakan ayat komplemen.
Contoh:
1.
Sungguh
mustahil untuk mereka melepaskan diri.
a)
Perkara itu sungguh mustahil. (Ayat induk)
b)
Mereka melepaskan diri. (Ayat keterangan)
Ayat induk tidak boleh berdiri sendiri tetapi ayat
komplemen merupakan ayat yang lengkap dengan subjek dan predikatnya. Ayat induk
memerlukan ayat komplemen untuk menjadi satu ayat yang lengkap.
(b) (iii) Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
- Jenis-jenis
Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
i)
Keterangan musabab
ii)
Keterangan syarat
iii) Keterangan waktu
iv)
Keterangan pertentangan
v)
Keterangan harapan
vi)
Keterangan cara
vii)
Keterangan tujuan
viii)
Keterangan perbandingan
(b) (iii) (i)
Keterangan Musabab
Keterangan musabab dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan sebab
berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab yang
digunakan ialah kerana, lantaran dan
oleh sebab.
Contoh :
1.
Saya tidak hadir ke kelas kerana terlewat bangun.
2.
Oleh sebab sikapnya
yang malas bejalar, Ali telah gagal dalam peperiksaan.
(b) (iii) (ii) Keterangan
Syarat
Keterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntunan yang mesti dipenuhi.
Kata hubung keterangan syarat adalah seperti sekiranya, andai kata, jikalau, jika dan kalau.
Contoh :
1.
Andai kata mereka
berbaik-baik, pasti semua kerja akan siap tepat pada waktunya.
2.
Sekiranya dia sudi untuk
menolong, saya pasti akan membuat kenduri kesyukuran itu.
(b) (iii)
(iii) Keterangan Waktu
Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu perbuatan atau
kejadian. Kata hubung keterangan waktu yang digunakan ialah sejak, semenjak, setelah, sewaktu, sementara, tatkala dan ketika.
Contoh :
1.
Sejak dari dahulu
lagi saya menyukainya.
2.
Nenek meninggal dunia ketika saya masih kecil.
(b) (iii)
(iv) Keterangan Pertentangan
Keterangan pertentangan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan
atau kejadian yang berlawanan. Kata hubung keterangan pertentangan yang
digunakan seperti walaupun, meskipun,
walau bagaimanapun, namun, sekalipun dan lain-lain.
Contoh :
1.
Walaupun dia cacat
penglihatan, dia tetap ingin belajar.
2.
Meskipun hari sudah
malam, lelaki itu tetap juga tidak mahu pulang.
(b) (iii) (v) Keterangan
Harapan
Keterangan harapan merupakan unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau
kejadian yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan ini adalah seperti supaya, agar, semoga, moga-moga dan kalau-kalau.
Contoh :
1.
Kita mesti bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati.
2.
Ali berharap semoga
kawan karibnya cepat sembuh.
(b) (iii) (vi) Keterangan Cara
Keterangan cara dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan gaya atau
kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara
ialah dengan.
Contoh :
1.
Wanita datang dengan
menaiki kapal terbang.
2.
Dia menangkap tikus dengan menggunakan perangkap tikus.
(b) (iii)
(vii) Keterangan Tujuan
Keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu
perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan tujuan ialah untuk, demi dan bagi.
Contoh :
1.
Shukri datang ke kelas untuk belajar.
2.
Demi menjaga
maruahnya, dia sanggup melaporkan perkara tersebut.
(b) (iii)
(viii) Keterangan Perbandingan
Keterangan perbandingan ialah unsur yang menerangkan kejadian yang menjadi
persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan ialah seperti, macam, ibarat, bak, bagaikan dan
lain-lain.
Contoh :
1.
Pasangan itu bagaikan
pinang dibelah dua.
2.
Wazir sentiasa mengelamun seperti pungguk rindukan bulan.
c)
Ayat Majmuk
Campuran
Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis
ayat, iaitu ayat yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk
atau deretan berbagai-bagai ayat majmuk.
Contoh :
1.
Negara mengalami masalah ekonomi (klausa utama) tetapi keadaannya bertambah baik (klausa utama) apabila pertambahan
ekonomi mula berkembang semula (ayat kecil).
- Ayat campuran ini terdiri daripada ayat gabungan dan
ayat keterangan waktu; atau dua ayat utama dalam dan satu ayat kecil.
2.
Apabila kami tiba di Langkawi (ayat kecil) kami disambut oleh jawatankuasa (klausa utama) dan kami diperkenalkan kepada Pegawai Daerah (klausa utama) serta ahli Jawatankuasa
Kemajuan Kampung (klausa utama).
- Ayat campuran ini terdiri daripada tiga ayat utama dan
satu ayat kecil.
3.
Projek-projek besar kerajaan diharap menjana
pertumbuhan ekonomi negara (klausa utama)
dengan meluaskan pekerjaan (ayat kecil)
serta menggerakkan pelbagai sektor ekonomi pembinaan (ayat kecil) selain menyediakan infrastruktur negara (klausa utama).
- Ayat campuran ini terdiri daripada ayat gabungan dan
ayat keterangan cara.