fb youtube Twitter
Nama Penuh : Zaimah Binti Musa

No. Matriks : PPG/BM/04/00788/2012/2/KIC

Topik : Bahasa Melayu

Tuesday, 27 November 2012

Ayat Majmuk

 
 

 
Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih menjadi satu ayat. 
 
Percantuman ini menyebabkan ayat majmuk itu mempunyai lebih daripada dua predikat. Terdiri daripada sederetan ayat tunggal yang dicantumkan menjadi satu ayat mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.
  
Contoh : 
1.    Ahmad sedang membuat kerja sekolah dan Ali sedang membuat ulangkaji.
a)    Ahmad sedang membuat kerja sekolah.
b)   Ali sedang membuat ulangkaji.

2.   Tina memasak sambil menyanyi.
a)   Tina memasak.
b)  Tina menyanyi.

3.  Pencuri telah memasuki rumah Ah Chong ketika penghuni rumah itu sedang tidur.
a)  Pencuri telah memasuki rumah Ah Chong.
b)  Penghuni rumah itu sedang tidur.

4.  Dompet Masnah tertinggal di dalam bas  yang dinaikinya pagi tadi.
a)  Dompet Masnah tertinggal di dalam bas.
b)  Bas dinaikinya pagi tadi.


Jenis Ayat Majmuk

      a)            Ayat majmuk gabungan
      b)            Ayat majmuk pancangan
      c)            Ayat majmuk campuran


a)    Ayat Majmuk Gabungan
Ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat tunggal yang digabungkan dengan menggunakan kata hubung dan, atau, tetapi dan sebagainya. 

Contoh :
Emak sedang memasak dan adik sedang menyanyi. (Ayat majmuk)
a)    Emak sedang memasak. (Ayat tunggal)
b)    Adik sedang menyanyi. (Ayat tunggal)


b)    Ayat Majmuk Pancangan
Gabungan ayat-ayat tunggal yang tidak setara membentuk satu ayat baru. Terdapat satu ayat utama atau induk dan beberapa ayat kecil lain dalam satu ayat.

Ayat majmuk pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
            i)              Ayat majmuk pancangan relatif
           ii)             Ayat majmuk pancangan komplemen
          iii)            Ayat majmuk pancangan keterangan


(b)  (i) Ayat Majmuk Pancangan Relatif
Dalam majmuk jenis ini  kata hubung relatif yang, digunakan untuk memancangkan ayat kecil/klausa kecil ke dalam ayat/klausa induk. 

Contoh :
1.    Saya suka membaca buku yang ditulis oleh Shahnon Ahmad.
a)    Ayat utama/ klausa induk – Saya suka membaca buku.
b)    Ayat kecil – Buku ditulis oleh Shahnon Ahmad.

2.    Ali membeli baju yang berwarna merah.
a)    Ali membeli baju.
b)    Baju berwarna merah.
  • Dalam ayat ini ayat/klausa kecil dipancangkan ke dalam predikat ayat, dan bertugas sebagai objek.
3.    Perempuan yang baru tiba itu kekasih saya.
a)    Perempuan itu baru tiba.
b)    Perempuan itu kekasih saya.

4.    Ceramah yang disampaikan oleh orang itu sungguh menarik.
a)    Orang itu menyampaikan ceramah.
b)    Ceramah itu sungguh menarik.

  •  Dalam ayat 3 dan 4, ayat/klausa kecil dipancangkan ke dalam subjek ayat.


(b) (ii) Ayat Majmuk Pancangan Komplemen

Ayat yang ditandai kata hubung bahawa dan untuk.
Terdapat satu ayat induk dan ayat kecil yang dinamakan ayat komplemen. 

Contoh:
1.    Sungguh mustahil untuk mereka melepaskan diri.
a)    Perkara itu sungguh mustahil. (Ayat induk)
b)    Mereka melepaskan diri. (Ayat keterangan)

Ayat induk tidak boleh berdiri sendiri tetapi ayat komplemen merupakan ayat yang lengkap dengan subjek dan predikatnya. Ayat induk memerlukan ayat komplemen untuk menjadi satu ayat yang lengkap.


(b) (iii) Ayat Majmuk Pancangan Keterangan

  •  Jenis-jenis Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
          i)              Keterangan musabab
         ii)             Keterangan syarat
        iii)           Keterangan waktu
        iv)           Keterangan pertentangan
         v)            Keterangan harapan
        vi)           Keterangan cara
       vii)          Keterangan tujuan
      viii)         Keterangan perbandingan


(b) (iii) (i) Keterangan Musabab
Keterangan musabab dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab yang digunakan ialah kerana, lantaran dan oleh sebab.
 
Contoh :
1.    Saya tidak hadir ke kelas kerana terlewat bangun.
2.    Oleh sebab sikapnya yang malas bejalar, Ali telah gagal dalam peperiksaan.


(b) (iii) (ii) Keterangan Syarat
Keterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntunan yang mesti dipenuhi. Kata hubung keterangan syarat adalah seperti sekiranya, andai kata, jikalau, jika dan kalau.

Contoh :
1.    Andai kata mereka berbaik-baik, pasti semua kerja akan siap tepat pada waktunya.
2.    Sekiranya dia sudi untuk menolong, saya pasti akan membuat kenduri kesyukuran itu.


       (b) (iii) (iii) Keterangan Waktu
Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan waktu yang digunakan ialah sejak, semenjak, setelah, sewaktu, sementara, tatkala dan ketika. 

Contoh :
1.    Sejak dari dahulu lagi saya menyukainya.
2.    Nenek meninggal dunia ketika saya masih kecil.

(b) (iii) (iv) Keterangan Pertentangan
Keterangan pertentangan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang berlawanan. Kata hubung keterangan pertentangan yang digunakan seperti walaupun, meskipun, walau bagaimanapun, namun, sekalipun dan lain-lain.

Contoh :
1.    Walaupun dia cacat penglihatan, dia tetap ingin belajar.
2.    Meskipun hari sudah malam, lelaki itu tetap juga tidak mahu pulang.


(b) (iii) (v) Keterangan Harapan
Keterangan harapan merupakan unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan ini adalah seperti supaya, agar, semoga, moga-moga dan kalau-kalau.

Contoh :
1.    Kita mesti bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati.
2.    Ali berharap semoga kawan karibnya cepat sembuh.


(b) (iii) (vi) Keterangan Cara
Keterangan cara dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara ialah dengan.

Contoh :
1.    Wanita datang dengan menaiki kapal terbang.
2.    Dia menangkap tikus dengan menggunakan perangkap tikus.


(b) (iii) (vii) Keterangan Tujuan
Keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan tujuan ialah untuk, demi dan bagi

Contoh :
1.    Shukri datang ke kelas untuk belajar.
2.    Demi menjaga maruahnya, dia sanggup melaporkan perkara tersebut.


(b) (iii) (viii) Keterangan Perbandingan
Keterangan perbandingan ialah unsur yang menerangkan kejadian yang menjadi persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan ialah seperti, macam, ibarat, bak, bagaikan dan lain-lain. 

Contoh :
1.    Pasangan itu bagaikan pinang dibelah dua.
2.    Wazir sentiasa mengelamun seperti pungguk rindukan bulan.


c)    Ayat Majmuk Campuran
Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, iaitu ayat yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai ayat majmuk.

Contoh :
1.    Negara mengalami masalah ekonomi (klausa utama) tetapi keadaannya bertambah baik (klausa utama) apabila pertambahan ekonomi mula berkembang semula (ayat kecil).

  • Ayat campuran ini terdiri daripada ayat gabungan dan ayat keterangan waktu; atau dua ayat utama dalam dan satu ayat kecil.

2.    Apabila kami tiba di Langkawi (ayat kecil) kami disambut oleh jawatankuasa (klausa utama) dan kami diperkenalkan kepada Pegawai Daerah (klausa utama) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung (klausa utama).

  • Ayat campuran ini terdiri daripada tiga ayat utama dan satu ayat kecil.

3.    Projek-projek besar kerajaan diharap menjana pertumbuhan ekonomi negara (klausa utama) dengan meluaskan pekerjaan (ayat kecil) serta menggerakkan pelbagai sektor ekonomi pembinaan (ayat kecil) selain menyediakan infrastruktur negara (klausa utama).

  • Ayat campuran ini terdiri daripada ayat gabungan dan ayat keterangan cara.



HARAP ENTRY INI DAPAT MEMBERI MANFAAT :)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...